Thursday, January 13, 2011

Persedian Pembelajaran Bab 2 : Malayan Union & Persekutuan Tanah Melayu


Bab 2 :  MALAYAN UNION & PERSEKUTUAN TANAH MELAYU

Dalam bab ini, perbincangan hendaklah ditumpukan kepada aspek-aspek berikut:
1.        Kedaan Tanah Melayu selepas kekelahan Jepun.
2.        Tujuan penubuhan Malayan Union
3.        Ciri-ciri Malayan Union
4.        Reaksi rakyat tempatan terhadap Malayan Union
5.        Tujuan penubuhan UMNO
6.        Peranan tokoh-tokoh UMNO
7.        Perkembangan UMNO
8.        Factor pembentukan Persekutuan Tanah Melayu
9.        Ciri-ciri Persekutuan Tanah Melayu

Pengenalan:

Selepas kekalahan Jepun, PKM telah mengambil kesempatan menguasai Tanah Melayu selama 14 hari.  Apabila British kembali ke Tanah Melayu, mereka telah memperkenalkan pentadbiran Tentera British. Setelah Berjaya mengamankan Tanah Melayu, British telah  memperkenalkan pula pentadbiran Malayan Union.  Pelbagai tentangan diterima dalam kalangan penduduk Tanah Melayu.  Tentangan ini menyebabkan tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu.

Isi:

Selepas Jepun menyerah kalah, Tanah Melayu dikuasai oleh Tentera Bintang Tiga selama 14 hari.  Tanah Melayu mengalami keadaan huru-hara.  British yang menguasai semula Tanah Melayu telah menubuhkan Pentadbiran Tentera British (PTB/BMA).  Setelah keamanan Tanah Melayu Berjaya dipulihkan, pada tahun 1946 gagasan Malayan union diperkenalkan.  Wakil British Sir Harold MacMicheal bertindak mengugut Raja-raja Melayu untuk mendapatkan persetujuan mengenai gagasan Malayan Union.

Akhbar Melayu memainkan peranan penting dalam usaha menyatukan orang Melayu supaya menentang Malayan Union.  Akhbar Utusan Melayu, Majlis dan Warta Negara telah menyeru orang Melayu supaya bersatu dan menubuhkan parti politik di peringkat kebangsaan.  Akhbar Warta Negara telah menyeru supaya orang Melayu bersatu mengadakan kongres dan membentuk sebuah pertubuhan di peringkat pusat bagi menjaga kepentingan orang Melayu dan tanah air mereka.

Orang Melayu di bawah pimpinan Dato’ Onn bin Jaafar menentang Malayan Union menubuhkan Pergerakan Melayu Johor dan mengadakan Kongres Malayu Se-Malaya pada 1 hingga 4 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman Kuala Lumpur.  Beribu-ribu orang lelaki, perempuan dan kanak-kanak telah membanjiri Kelab Sultan Sulaiman dengan berbagai-bagai sepanduk yang bersemangat untuk menentang Malayan Union.

Hasil kongres tersebut tertubuhlah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO/PEKEMBAR) pada 4 Mac 1946.  Presiden pertamanya ialah Dato Onn bin Jaafar.  Tujuan penubuhan UMNO ialah untuk menyatukan orang Melayu bagi menentang Malayan Union.  Satu jawatankuasa ditubuhkan untuk menyusun perlembagaan UMNO.  Dipengerusikan olah Dato Onn bin Jaafar.  AJK terdiri daripada Dato’ Panglima Bukit Gantang, Zainal Abidin bin Ahmad dan Dato’ Nik Ahmed Kamil.

Langkah seterusnya ialah menghantar telegram kepada Perdana Menteri British, Clement Atlee, agar memansuhkan gagasan Malayan Union.  British telah menghantar Kapten L.D. Gammans dan Kolonel David Rees William untuk meninjau kebangkitan orang Melayu menentang Malayan Union.

Ketika Gammans dan David Rees William tiba di Johor Bahru beribu-ribu orang Melayu telah berbaris di sepanjang jalan menuju ke Istana Besar Johor menentang Malayan Union.  Di Batu Pahat, Johor, seorang guru sekolah, Zahara binti Abdullah telah memberi ucapan bersemangat menentang Malayan Union.  Ketua Bahagian Kaum Ibu, Persatuan Melayu Negeri Sembilan, Puan Halimaton Majid bersama 30 000 orang Melayu berarak di Rembau, Negeri Sembilan menentang Malayan Union.

Di Kuala Lumpur, satu perjumpaan telah diadakan di Padang Kelab Sultan Sulaiman.  Datin Puteh Maria, mengetuai Bahagian Wanita Perikatan Malayu Perak menyeru kaum wanita dan lelaki berganding bahu menentang Malayan Union.

Di Selangor Persatuan Kaum Ibu Selangor telah ditubuhkan khusus untuk menentang Malayan Union.

Di Pulau Pinang, orang Melayu telah berkumpul di padang Sekolah Francis Light hingga ke Pulau Pinang membantah Malayan Union.

Di Kelantan, 10000 orang Melayu telah membantah kedatangan MacMicheal di Istana Kelantan.

Orang Melayu memakai tanda berkabung dengan melilit kain putih di songkok selama 7 hari mulai 1 April 1946.  Sultan Malayu dan Orang Melayu memulaukan upacara pelantikan Gabenor Malayan Union. 

Pegawai British yang pernah bertugas di Tanah Melayu seperti Frank Swettenham, Sir Frederick Weld, Richard Winstedt dan Cecil Clementi Smith juga turut menentang Malayan Union melalui akhbar The Times di London. 

Akhirnya Malayan Union dibatalkan.  Pada bulan Julai 1946, Jawatankuasa Eksekutif dibentuk untuk membincangkan perlembagaan baru menggantikan Malayan Union.  Pada Februari 1948 perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan menggantikan gagasan Malayan Union.

Tamat



No comments:

Post a Comment